Monday, April 27, 2009




KEKURANGAN LELAKI D IPTA : Di Mana SilapNya...
Baru- baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan fenomena kurangnya pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Hakikatnya, situasi sebegini merupakan suatu situasi yang tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Ia sentiasa menjadi topik perbualan hangat di mana- mana.

Antara faktor- faktor yang menyumbang ke arah masalah ini ialah kurangnya kesedaran di kalangan pelajar lelaki dan ibu bapa tentang betapa pentingnya pelajaran itu. Kita sedia maklum IPTA merupakan tempat pengajian bagi pelajar lepasan sekolah menengah.

Kalau di bangku sekolah lagi ibu bapa tidak mengambil berat akan prestasi pelajaran anak mereka, secara tidak langsung golongan pelajar ini mempunyai masa depan yang kelam untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Malah, sifat semulajadi lelaki yang lambat matang, degil dan berdarah “muda” mengakibatkan mereka lebih mudah terjebak di dalam gejala sosial jika dibandingkan dengan pelajar perempuan.
Apa yang menyedihkan, setiap tahun jumlah penghuni di semua pusat serenti di Malaysia meningkat dan golongan pemuda yang mendominasi tempat- tempat pemulihan ini.

Sikap sesetengah ibu bapa yang kurang memberi perhatian kepada anak lelaki turut menyumbang kepada kekurangan lelaki di IPTA. Ada sesetengah ibu bapa lebih merisaukan masa depan anak perempuan berbanding anak lelaki.
Mereka beranggapan anak lelaki pandai berdikari apabila mereka dewasa nanti tetapi anak perempuan perlu diberikan pendidikan yang lebih berbanding anak lelaki kerana takut mereka tidak akan kahwin dan bakal menjadi bahan mengumpat masyarakat setempat di masa akan datang.

Kalau beginilah mentaliti masyarakat zaman sekarang, menjadi satu kepastian golongan lelaki akan mundur di belakang kerana kesalahan terletak juga di bahu ibu bapa mereka.

Adalah suatu yang sia- sia sekiranya Kementerian Pelajaran Malaysia merombak sistem pelajaran yang sedia ada ke arah teknik mengasah minda dan berfikir sekiranya pelajar lelaki tidak mahu mengubah diri mereka untuk berlumba- lumba memburu kejayaan.

Di era moden ini, pelajar lelaki perlu mengubah sikap mereka kepada melakukan sesuatu yang positif, menetapkan matlamat untuk berjaya, berfikiran kreatif dan berdisplin untuk menimba ilmu.Islam menegaskan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sekiranya kaum tersebut tidak berusaha untuk mengubah nasib mereka sendiri.

Selagi masalah ini tidak diatasi secepat mungkin, saya bimbang golongan lelaki akan mengambil alih kerja wanita manakala golongan wanita pula akan menjadi pemimpin di dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Lelaki merupakan aset negara yang penting dan mereka bakal menjadi pemimpin di masa depan. Seperti kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Tetapi kalau majoriti lelaki tidak berkualiti, adalah suatu jaminan Malaysia akan diperintah oleh kaum Hawa suatu hari nanti.

Friday, April 24, 2009





Fakta Tentang Senyum..




1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar degupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.

6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Justeru, tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.

8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa.Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.

11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat.

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru.

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit.

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, cuma sekelumit rasa ikhlas yang boleh memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan.